Friday, July 18, 2008

Cerita Ibu

Sudah hampir 2minggu aku tidak berbual panjang bersama ibuku. Terasa rindu di hati. Sekembalinya aku dari Melbourne, pelbagai berita ku dengar dari kampung. Ku doakan semoga semuanya tabah menempuh ujian hidup ini. Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami. Sesungguhnya hanya padaMu tempat kami bergantung.

Kenaikan harga minyak yang melambung tinggi menjadi isu yang hangat dibincangkan di negara sekarang. Ramai yang mengeluh ekoran harga minyak yang tinggi. Rakyat merasa terbeban dengan masalah ini. Keluargaku juga tidak terlepas dari masalah ini. Perbualan aku dan ibu kali ini banyak berkisar harga minyak. Aku sedia mendengar curahan hati ibuku ini. Katanya, pelbagai cara keluargaku lakukan untuk berjimat. Alhamdulillah, Allah mengurniakan kami tanah untuk kami bercucuk tanam dan kami kutip hasilnya. Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan belanja dapur. Aku membalas “Takpe, nanti kita balik, kita jadi pekebun belakang rumah ea mak”. Ibuku hanya tertawa mendengar kata-kataku. Kemudian ibuku kata pokok kacang botor yang aku tanam sebelum aku berangkat ke New Zealand sudahpun berbuah dengan banyak. Alhamdulillah, aku bersyukur pada Allah yang mengurniakan hasil-hasil yang banyak itu. Aku hanya mampu berusaha, hasilnya hanya Allah yang menentukan.

Kemudian ibuku bercerita tentang sebuah keluarga yang susah. Ibuku yang bekerja sebagai pembantu prasekolah sedikit sebanyak tahu tentang latar belakang keluarga kanak-kanak prasekolah di situ. Salah seorang kanak-kanak di situ, ibunya seorang kerani. Hanya ibunya yang bekerja untuk menyara 4orang anak dengan pendapatan yang rendah. Harga minyak yang naik membuatkan si ibu merasa lebih terhimpit. Ingin menghantar anaknya ke nursery ketika dia bekerja tetapi pendapatan yang rendah tidak mengizinkannya berbuat demikian. Si ibu meminta bantuan ibuku menjaga anaknya di prasekolah sehingga dia pulang kerja. Ibuku yang bersimpati pada keluarga ini merelakan diri untuk menjaga si anak tanpa bayaran. Si anak ini memanggil ibuku ‘ibu’. Pernah suatu ketika, si anak itu tadi merasa lapar dia berkata kepada ibuku “Ibu, masaklah nasi goreng macam nasi goreng ibu masak dulu. Kita suka nasi goreng ibu buat. Kita lapar”. Hati siapa tak tersentuh dengan kata-kata seorang anak kecil ini. Hanya hati-hati mereka yang zalim tidak akan memperdulikan malah mungkin akan mengherdik anak kecil ini. Ibuku rasa bersalah kerana tiada bahan di prasekolah untuk dibuatkan nasi goreng. Ibuku hanya dapat memberi nasi berlauk kari yang merupakan hidangan di rumahku. Walaupun si anak tadi tidak dapat apa yang dimintanya, dia makan sahaja nasi yang sedia ada dengan penuh selera. Sungguh lapar agaknya dia.

Tersentuh aku mendengar cerita ibuku ini. Ibu kata “Walaupun kadang-kadang kita merasa susah, ada lagi orang yang lebih susah dari kita. Cuba tunaikan hajat orang lain semampu kita, mudah-mudahan Allah akan mempermudahkan urusan kita.” Ya, aku sangat bersetuju dgn kata-kata ibu. Bersyukurlah, walaupun sesusah mana kita sekarang ini, kita masih boleh hidup dengan aman dan jangalah kita lupa kepada saudara-saudara seislam kita di Palestine, Iraq, Afghanistan, dan di lain negara yang hari-hari ditindas, dibunuh dengan sesuka hati. Doakanlah mereka.

Ingin juga aku pesan kepada mereka yang sedang memimpin mahupun yang akan memimpin. Tidak kiralah siapa pun yang memimpin. Jangan sesekali kamu menzalimi rakyat, fikirkanlah nasib rakyatmu. Jika kamu kata rakyat cukup makan, bagaimana kami ingin percaya sedangkan kami masih lagi melihat rakyat berikat perut, masih lagi melihat fakir miskin yang mengharap belas kasihan orang demi sesuap nasi. Adakah ini maknanya cukup makan? Selagi kamu tidak kembali kepada Islam yang sebenar, selagi kamu tidak meletakkan Al-Quran di hatimu, selagi itulah rakyat akan terus dizalimi. Ingatlah setiap perbuatanmu pasti akan dibalas Allah dengan setimpalnya di akhirat kelak.

Buat diriku, tabahlah dengan ujian yang menimpa. Bukankah ujian itu tanda cintaNya kepada kita. Bersihkan hatimu. Letakkan Al-Quran dihatimu. Jangan sesekali kau lupa pada Allah Yang Maha Besar, Yang Maha Agung, Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Buat sesiapa sahaja diluar sana, jika kau merasa terhimpit dengan ujian ini, ingatlah Allah lebih berkuasa dari kuasa manusia. Berdoalah supaya dicukupkan segalanya walaupun dengan rezeki yang kau rasa sedikit. Bukankah Allah Berkuasa memberi rasa cukup biarpun dengan harta yang sedikit. Bersabarlah dengan ujian yang menimpa. Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan kesabaranmu itu.

2 comments:

Nisa said...

salam...sy mengaku sy pun terlepas pandang rupanya ada org yg hidup susah dan bertambah terhimpit sbb mslh harga minyak yg meningkat....skg berada di tmpt lain, jd sy xpeka dgn mslh mcm ni...baguslah...awk boleh je menulis sbnrnya...hehe...teruskan usaha ye

His servant said...

Alhamdulillah....nmpknyer aisyah nie berbakat sebenarnyer nak menulis....well done!Betul kata kak Elly,jgn kata kita tak boleh buat selagi kita belum cuba..hihi.you've inspired me to start writing too..insyaAllah.